Aug 27, 2018: ‘Sayangi Malaysiaku’cara Dr Padmashini

‘Sayangi Malaysiaku’ cara Dr Padmashini

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

JULAU, 27 Ogos (Bernama) — Seawal jam 5.30 pagi, doktor wanita kelahiran Klang, Selangor ini sudah bangun dengan penuh semangat menyediakan kelengkapan untuk memberi perkhidmatan pergigian kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.

Bermula 8 pagi, Dr Padmashini Kalimuthu telah siap menunggu di rumah (Rh) Anthony Bau di rumah panjang Nanga Sugai bagi kedatangan pesakit dari rumah panjang itu serta beberapa rumah panjang kawasan berhampiran seperti Rantau Tapang dan Mujok.

Dr Padmashini, 28, yang sudah dua tahun berkhidmat di Sarawak memilih untuk bersama 18 sukarelawan perubatan seperti doktor, doktor gigi serta ahli farmasi UMW-Mercy Malaysia melaksanakan misi klinik bergerak di kawasan penempatan masyarakat Iban, jauh daripada keselesaan bertugas di bilik rawatan berhawa dingin.

Bercakap kepada Bernama, Dr Padmashini yang bertugas di Hospital Miri berkata beliau sudah mendaftar sebagai sukarelawan UMW-Mercy Malaysia sejak setahun lalu, hampir menyertai misi pertama pada tahun yang sama tetapi oleh kerana bertembung dengan sambutan Deepavali dia tidak dapat bersama sukarelawan lain kerana pulang ke Semenanjung.

“Apabila dimaklumkan mengenai misi kali ini, saya bersetuju untuk bersama-sama menabur khidmat bakti. Rasa sangat gembira kerana dapat tolong masyarakat di pedalaman ini yang agak sukar untuk keluar mendapatkan rawatan kesihatan termasuk khidmat pergigian, ini sedikit sumbangan saya kepada mereka,” kata doktor gigi lulusan Bachelor of Dental Surgery, Meenakshi Ammal Dental College and Hospital, Chennai, India ini…..

http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1636231